Sunday, 21 February 2016

Sejarah Makam Lama Di Kampung Permatang Raja, Perak

Oleh: Hashim bin Shuib, Pewaris Tok Saad & Tok Milah
          (Pengasas Kampung Permatang Raja)


Di Kampung Permatang Raja, Pantai Remis, Perak yang dulunya dikenali sebagai ‘Kampung Sungai Hut’ terdapat sebuah kawasan perkuburan lama yang sangat misteri. Tiada papan-tanda dan keterangan tentang kubur ini. Kewujudan kubur ini sangat sinonim dengan kisah sebuah kerajaan lama yang pernah bertapak di sini pada suatu ketika dahulu.

ASAL-USUL MAKAM RAJA:
Di kalangan penduduk tempatan, kubur lama ini dikenali sebagai ‘Makam Raja’. Mereka meyakini bahawa inilah tempat persemadian keluarga di raja setelah terdapat beberapa tanda dan petunjuk seperti berikut:
1. Kawasan ini sering berlaku kebakaran pada musim kemarau, tetapi dua buah kubur yang mempunyai nisan daripada kayu ini tidak terbakar. Kayu nisan lain semuanya hangus dan telah lenyap
2. Mereka pernah melihat kelibat dua orang gadis yang sangat cantik bermain-main di sekitar kubur ini
3. Mereka pernah melihat lembaga yang memakai pakaian serba kuning
seperti seorang raja berada di kawasan ini
4. Keris 7 lekuk lama tanpa hulu dijumpai oleh Abdul Hamid bin Jaafar (Pak Ngah Mid) di sini pada tahun 1970, dipercayai milik hulubang atau penduduk awal di sini

NAMA KAMPUNG PERMATANG RAJA:
Pada tahun 1965, baginda sultan Perak, Sultan Idris Shah telah melawat makam ini dan mengakui ianya adalah makam di raja, tetapi tiada kaitan dengan salasilah kesultanan Perak. Baginda telah mengambil nisan kayu berukir yang tidak terbakar di sini dan menggantikannya dengan nisan batu, seperti yang ada pada hari ini. Nisan kayu tersebut dikatakan diperbuat dari teras kayu tembusu (Fagrea fragrans) yang banyak terdapat di sini. Baginda sultan juga telah menukar nama Kampung Sungai Hut menjadi ‘Kampung Permatang Raja’, atas cadangan dari ketua kampung Mohd Nor bin Ishak (Pak Tam Non P.J.K).

KISAH RAJA ABDULLAH DAN DUA ORANG PUTERI:
Pada tahun 1990, pasukan muzium di raja Sultan Johor telah melawat dan membuat kajian di sini. Mereka mengatakan bahawa dua buah kubur lama ini kepunyaan Tengku Fatimah dan Tengku Zaleha, anak Raja Abdullah - seorang kerabat di raja Johor.
Mengikut cerita pasukan muzium ini, Raja Abdullah telah membawa lari kedua-dua puteri beliau dari Johor ke sini kerana raja siam mahu mengambil mereka sebagai isteri. Raja Abdullah membawa seluruh keluarga beliau dan para hulubalang yang berjumlah sekitar 60 orang ke kampung ini dengan menyusuri sungai Hut.

ISTANA NEGERI PELINDUNG:
Menurut seorang penduduk tempatan yang juga merupakan pakar sejarah tersohor di sini, En. Abdul Hamid bin Jaafar (Pak Ngah Mid), Raja Abdullah dan rombongan beliau yang datang ke sini juga telah mendirikan sebuah istana kayu tak jauh dari tempat makam ini. Kerajaan beliau dikenali sebagai “Negeri Pelindung”. Sebelumnya tempat ini dikenali sebagai Matang Perak. Penduduk di Negeri Pelindung ini mengusahakan sawah padi di Kampung Tebuk. Mereka juga bekerja sebagai nelayan di sungai dan laut berdekatan.
Istana kayu Raja Abdullah kini terletak di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Kampung Permatang Raja.  Pada tahun 1970an masih terdapat kesan tiang kayu struktur binaan di sini.

LENYAPNYA KERAJAAN RAJA ABDULLAH:
Tidak berapa lama selepas itu, penduduk di negeri Pelindung ini ditimpa wabak taun yang mengakibatkan ramai hulubalang Raja Abdullah mati. Kedua-dua puteri beliau juga turut terkorban dan dikebumikan di sini. Raja Abdullah dan pengikutnya yang terselamat telah berpindah ke Beruas dan beliau dikatakan telah mangkat di situ.

Di kawasan sekitar makam ini pada masa lalu terdapat banyak kubur lama yang terbiar dan lama-kelamaan telah lenyap begitu saja.

DOA RAJA ABDULLAH:

Menurut Pak Ngah Mid, baginda Raja Abdullah pernah berdoa kepada Allah supaya Negeri Pelindung ini selamat dari segala ancaman dari luar.  Pada masa penjajahan Jepun di Tanah Melayu (1942-1945), doa ini telah dimakbulkan illahi dimana tiada seorang pun dari angkatan tentera Jepun berjaya melalui Kampung Sungai Hut ini.

PENEMPATAN ORANG JAWA:
Selepas peristiwa ini, Negeri Pelindung telah diliputi hutan rimba, sehinggalah sekumpulan orang jawa datang membuka tempat ini dan mengusahakan sawah padi di Kampung Tebuk sekitar tahun 1816. Mengikut sejarah, Kampung Tebuk adalah sebahagian dari Kampung Sungai Hut pada waktu itu. Penempatan orang jawa di sini juga tidak kekal lama kerana banyak ternakan lembu dan kerbau mereka telah mati terkena penyakit yang dibawa oleh sejenis serangga.
Artifak berupa tempayan berisi ketulan timah yang dijumpai di kawasan sawah padi di Kampung Tebuk (berdekatan rumah Pak Lid) adalah bukti adanya penempatan orang jawa di kawasan ini.

PEMBUKAAN KAMPUNG SUNGAI HUT:
Selepas penempatan di sini ditinggalkan oleh orang jawa buat sekian lama, pada sekitar tahun 1910 datang pula rombongan Tok Saad yang membawa anak tiri beliau Tok Milah, isteri dan beberapa orang dari Paya Keladi, Mahang, Kedah untuk memulakan penempatan baru di sini. Mereka datang hanya dengan berjalan kaki. Tok Saad telah membeli sebidang tanah milik orang jawa yang ditinggalkan. Kini tanah tersebut letaknya bersebelahan rumah cucu beliau Jaafar bin Husin (Tok Paq). Mereka juga telah memberi nama kampung ini sebagai ‘Kampung Sungai Hut’ sempena nama sebatang sungai di sini. Sebelumnya tempat ini masih kekal dengan nama Matang Perak, selepas kerajaan Negeri Pelindung lenyap.

ASAL NAMA SUNGAI HUT:

Sungai Hut terletak berdekatan tanah perkuburan di Kampung Permatang Raja.  Pada masa dahulu sungai ini sangat sibuk dengan aktiviti nelayan dan pekerjaan lain penduduk tempatan seperti mencari kayu bakau dan daun nipah.  Oleh sebab laluan sungai Hut ini berliku-liku, maka orang yang melalui kawasan ini dengan perahu terpaksa melaung "Huut.. Huuut."  Lama-kelamaan sungai ini digelar sebagai Sungai Hut.

GAMBAR:
Gambar di bawah ini menunjukkan kawasan makam di raja yang terletak di Kampung Permatang Raja. Di sebelah kanan adalah kubur Tengku Fatimah, manakala di kiri adalah kubur Tengku Zaleha. Binaan batu berpagar telah didirikan oleh pihak muzium Sultan Johor sebagai simbolik sahaja. Di dalamnya hanya terdapat sebuah replika kubur yang palsu. Batu nisan kubur ini adalah batu penambat lembu milik Encik Kassim (Kassim Tractor) yang pernah membela lembu di sini.

Kelihatan di sini juga kedua-dua kubur puteri Raja Abdullah telah dibina semula dan diletakkan nisan batu bagi menggantikan nisan kayu berukir yang diambil oleh pihak baginda Sultan Perak.



FAKTA MENARIK:
1. Pak Ngah Mid dilahirkan di Kampung Permatang Raja dan tidak pernah berpindah dari kampung ini sejak kecil. Kini rumah beliau terletak bersebelahan makam sejarah ini.

2. Pak Ngah Mid dan salasilah keturunan beliau adalah dari keturunan raja (Raja Mahadi) yang melarikan diri dari Sumatera, Indonesia.

3. Makam ini pernah menjadi sasaran kaki 'nombor ekor' pada suatu ketika dahulu.

4. Di kampung ini terdapat kesan peperangan 'antah-berantah' iaitu peperangan Raja Marakarma. 

SUMBER SEJARAH DAN UCAPAN RIBUAN TERIMA KASIH:
Abdul Hamid bin Jaafar (Pak Ngah Mid), Salasiah bt. Jaafar (Che Putih), Sariah bt. Jaafar (Adik Yah), Rohani bt. Jaafar, Che Jam bt. Jaafar (Kak Long), Zaini bt. Abu Taib (Cek Ani), Abdul Rahim bin Jaafar (Pak In), Nor Faezah bt. Shuib (Adik Na) dan Roslan bin Mohd Nor (Pak Su Lan).